Sabtu, 2 Januari 2010

PROFAIL NEGERI KELANTAN



Kelantan Darul Naim (Jawi: كلنتن دار النعيم, Loghat Kelantan: Klatè) atau nama pendeknya Kelantan merupakan sebuah negeri daripada 14 buah negeri di Malaysia yang kaya dengan sumber asli. Mempunyai keluasan lebih kurang 14,922 km², terletak di timur laut Semenanjung Malaysia, berhadapan dengan Laut China Selatan, dan bersempadan dengan Thailand (lihat peta). Kelantan ialah sebuah negeri agraria (pertanian) yang mempunyai banyak kawasan tanaman padi dan perkampungan nelayan.

Berdasarkan pada Bancian Tahun 2000, Kelantan mempunyai seramai 1,313,014 orang penduduk. Kaum Melayu merupakan kaum yang terbesar dengan 95%, diikuti dengan kaum Cina 3.8%, kaum India 0.3% dan lain-lain kaum 0.9%. Berdasarkan bancian tersebut, 95% beragama Islam, diikuti dengan agama Buddha 4.4%, Kristian 0.2%, Hindu 0.2% dan lain-lain agama 0.2%.

Kelantan Darul Naim terdiri daripada 10 jajahan iaitu Kota Bharu (كوتا بارو), Pasir Mas (ڤاسير مس), Tumpat (تومڤ), Pasir Puteh (ڤاسير ڤوتيه), Bachok (باچوق), Kuala Krai (كوالا كراي), Machang (ماچڠ), Tanah Merah (تانه ميره), Jeli (جيلي), Gua Musang (ڬوا موسڠ) manakala bandar-bandar utama di negeri Kelantan termasuklah Kota Bharu (ibu negeri), Pasir Puteh, Pasir Mas,Tanah Merah, Kuala Krai, Jeli, Rantau Panjang dan Pangkalan Chepa.

Negeri Kelantan mengalami iklim tropika yang baik, di mana hampir setiap tahun hujan turun dengan berselang-seli mengikut bulan tertentu. Biasanya, hujan yang lebat akan berterusan selama beberapa hari atau selama beberapa bulan. Bulan-bulan yang mengalami hujan yang paling kerap ialah bulan November, Disember dan Januari, iaitu pada musim tengkujuh. Suhu setiap hari dianggarkan lebih kurang 21°C.

Nama "Kelantan" dikatakan pencemaran daripada perkataan "gelam hutam", iaitu nama Melayu bagi pokok Melaleuca leucadendron. Ada juga yang mengatakan bahawa namanya datang daripada perkataan "kilatan" atau "kolam tanah". Selain itu Negeri Kelantan juga dikenali dengan nama Tanah Serendah Sekebun Bunga, Tanjung Pura, Negeri Cik Siti Wan Kembang dan serambi mekah pada masa dahulu.

Sejarah awal Kelantan tidak begitu jelas, tetapi temuan arkeologi mempertunjukkan kesan petempatan manusia di zaman prasejarah. Kelantan awal mempunyai perhubungan dengan Empayar Funan, Empayar Khmer, Srivijaya dan Siam. Kira-kira 1411, Raja Kumar, raja Kelantan, membebaskan negeri itu dari Siam. Beliau memakai gelaran Sultan Iskandar Shah apabila memeluk Islam. Kelantan kemudian menjadi sebuah pusat perdagangan yang penting pad akhir abad ke-15.

Pada 1499, Kelantan menjadi negeri vasal Kesultanan Melaka. Dengan kejatuhan Melaka pada 1511, Kelantan dibahagikan dan diperintah oleh ketua-ketua kecil. Dengan ancaman oleh Siam pada 1603, kebanyakan ketua kecil Kelantan bernaung di bawah Persekutuan Pattani Besar. Kerajaan pusat di Pattani membahagikan Kelantan kepada 4 wilayah iaitu Kelantan Timur, Kelantan Barat, Legeh dan Ulu Kelantan. Kira-kira 1760, seorang putera raja Kelantan Barat berjaya dalam penyatuan wilayah Kelantan sekarang. Tidak lama kemudian, pada 1764, Long Yunus iaitu putera raja Kelantan Timur, anak Long Sulaiman berjaya merampas takhta kerajaan dan mengisytiharkan diri sebagai Raja Kelantan. Walaubagaimanapun, dengan kemangkatannya, Kelantan dipengaruhi oleh Terengganu.

Pada 1800, Raja Muhammad mengisytiharkan diri sebagai sultan pertama Kelantan. Pada 1812, baginda melepaskan diri daripada pengaruh Terengganu dan menjadi negara ufti Siam yang berasingan. Pada 1820-an, Kelantan merupakan salah satu daripada negeri yang terbanyak penduduk serta termakmur di Semenanjung Tanah Melayu kerana berjaya mengelakkan perang dan pertikaian yang menimpa negeri-negeri di selatan dan barat. Siam terus memainkan peranan yang mustahak di Kelantan pada seluruh abad ke-19.

Di bawah syarat Perjanjian British-Siam pada 1909, Siam menyerahkan tuntutan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis kepada Britain, dan Kelantan menjadi salah satu daripada Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu di bawah Residen British. Kelantan merupakan tempat pertama di Malaya yang ditakluk oleh Jepun yang menyerangnya pada 8 Disember 1941. Semasa pendudukan Jepun, Kelantan sekali lagi dikawal oleh Siam, tetapi selepas kekalahan Jepun pada Ogos 1945, Kelantan kembali kepada pemerintahan British.

Kelantan menjadi sebahagian Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 dan bersama-sama dengan negeri lain, mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Pada 16 September 1963, Kelantan menjadi salah satu daripada negeri-negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia. Sultan Negeri Kelantan merupakan Ketua Perlembagaan Negeri. Di bawah perlembagaan negeri, kuasa perundangan dipunyai oleh Dewan Undangan Negeri. Dewan ini melantikkan ahli Dewan untuk membentukkan Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO).

EXCO, yang diketuai oleh Menteri Besar, memegang kuasa eksekutif dan merupakan badan yang membuat dasar kerajaan negeri. Menteri Besar yang dilantik oleh Sultan adalah daripada parti politik yang memenangi kerusi yang terbanyak di dalam Dewan Undangan. Menteri Besar Kelantan sekarang ialah Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga merupakan Mursyidul Am kepada parti yang memerintah negeri Kelantan, Parti Islam Se-Malaysia(PAS).
Kelantan merupakan negeri yang berjiran dengan wilayah-wilayah selatan Thailand yang dikenali dahulu sebagai Negeri Patani Darul Salam. Dari segi sejarahnya, Kelantan mempunyai hubungan sejarah yang sangat akrab dengan Kesultanan Melayu Patani yang didokongi oleh Kesultanan Melayu Islam. Di mana Kesultanan Melayu Kelantan mempunyai pertalian darah dengan Kesultanan Melayu Patani dan juga Kesultanan Melayu Negeri Champa. Setelah Kesultanan Melayu Patani dikhianati oleh Siam dan British maka ia telah demonisasi oleh Thailand. Negeri Patani telah dipecahkan kepada wilayah-wilayah kecil yang terdiri dari Yala(Jala), Narathiwat(Menara), Patani dan Songkla(Senggora). Di bawah perjanjian British-siam pada tahun 1948 demografi pemerintahan selatan Siam telah dipisahkan. Kelantan di bawah Malaysia manakala negeri-negeri Patani di bawah Thailand.

Oleh yang demikian Kelantan mempunyai budaya yang unik yang sangat berkait rapat dengan budaya Negeri Patani. Asimilasi antara budaya Melayu, Siam dan Islam menghasilkan permainan rakyat seperti Dikir Barat, Main Puteri, Mak Yong dan seumpamanya. Mak Yong dipengaruhi oleh budaya Siam (Thailand), sementara Dikir Barat pula mempunyai unsur-unsur Islam. Main Puteri pula dikatakan diresapi oleh budaya Hindu.

Kelantan juga kaya dengan makanan tradisional dan berlainan dengan makanan Melayu di negeri lain. Di antara makanan tradisional Kelantan yang berkhasiat dikenali sebagai budu. Penduduk di Kelantan kebanyakan menggunakan bahasa Melayu Kelantan, bahasa ini merupakan loghat dari bahasa Melayu piawai. Bahasa ini berbeza dengan bahasa Melayu Terengganu tetapi digunakan sehingga di Besut dan Setiu, Terengganu.

Rabu, 30 Disember 2009

SELAMAT DATANG TAHUN 2010

TAHUN 2009 berlabuh pergi dengan pelbagai peristiwa kejayaan dan kesedihan yang silih berganti. Sebahagian besarnya diwarnai dengan kisah-kisah kejayaan personaliti, kepimpinan dan pencapaian hebat individu, institusi mahu pun negara. Sebahagian lagi kisah duka lara sebahagian umat yang terus menderita, merintih sedih, mengharap bantuan orang lain dan berperang atas nama keganasan, persepsi sempit kaum dan agama serta tekanan yang tiada noktah penyelesaian.

Di dalam negara, kita berhadapan dengan kisah-kisah sedih manusia yang meragut, membunuh dan meruntun jiwa kemanusiaan kita dengan kisah-kisah derita anak-anak kecil yang dibuang, didera dan dilakukan keganasan yang mengulangi keluh kesah dan kemarahan yang sama. Kita dihimpit oleh keresahan oleh mereka yang membuat tafsiran pelbagai perkara mengikut emosi, kisah-kisah personaliti yang mencari publisiti hebat termasuk sesetengah menjadi sebahagian selebriti sensasi, kemalangan ngeri yang meragut nyawa insan tidak berdosa, kejayaan dalam sukan, kisah pencapaian dalam penyelidikan dan pencapaian negara yang boleh kita banggakan. Semoga 2009 yang pergi menjadi iktibar dan sumber kekuatan untuk meneruskan perjalanan kita selanjutnya. Biarlah sejarah yang berlalu itu mengajar kita erti ketabahan, keberanian dan kekuatan untuk memastikan 2010 yang dilalui lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.

Seperti mana ditegaskan di dalam al-Quran, Tuhan menjadikan kita berpuak-puak, bersuku suku dan mempunyai pelbagai bahasa. Oleh itu, kepelbagaian bukanlah sebab untuk kita terus bercakaran dan menimbulkan keresahan yang tiada sudahnya, selagi kita tahu batas sempadan yang ada, hormat menghormati dan tidak mementingkan diri. Kepelbagaian adalah sesuatu yang wajar dihargai. Perbezaan bahasa, budaya dan anutan agama menjadi rencah yang warna-warni penuh keindahan untuk diraikan, dihormati, dipelajari, difahami dan menjadi kelebihan untuk mengajar kita bahawa manusia juga mempunyai cita rasa yang berbeza-beza, minat yang tidak sama dan pemikiran yang tidak serupa untuk kita lebih bertoleransi dan menghormati satu sama lain secara matang dan bijaksana.

Namun kita bersatu di bawah satu bendera, di dalam satu negara yang berdaulat dan satu kesatuan yang membolehkan kita hidup bersama, rukun damai berteraskan sejarah masa lalu yang tidak boleh diubah dan dipadamkan. Kerana itu, sepanjang 2010 dan tahun-tahun akan datang, kita harus bersama-sama meningkatkan lagi tahap keceriaan dan kebahagiaan hidup, meningkatkan tahap kasih sayang sesama insan, melakukan transformasi minda yang lebih terbuka dan positif, mempertingkatkan kecemerlangan institusi yang ada dan membasmi segala bentuk keganasan. Pertubuhan-pertubuhan sukarela yang ada di negara ini harus menggembleng tenaga bersama, termasuk mengadakan perarakan raksasa untuk menunjukkan kebencian dan kemarahan kita terhadap keganasan, isu-isu alam sekitar yang menjejaskan kualiti hidup manusia, keganasan terhadap bayi dan kanak-kanak malah juga menangani kes-kes kemalangan jalan raya secara bersepadu.

Kita tahu dan sedar bahawa statistik juga menunjukkan yang keruntuhan institusi keluarga kita semakin membimbangkan. Bilangan penagih dadah dan mereka yang menghidapi penyakit berbahaya juga bertambah dengan banyaknya. Sebahagian besarnya ialah anak-anak muda kita yang terlibat dalam gejala-gejala songsang, jenayah seksual, pesta arak dan sebagainya yang menunjukkan semakin jauhnya mereka dengan agama. Puncanya juga kita tahu iaitu masalah rumah tangga, kerenggangan ikatan keluarga, tekanan ekonomi dan banyak lagi. Oleh sebab sibuk dengan kisah-kisah sensasi selebriti dan mungkin seronok dengan kisah-kisah politik sensasi, kita makin lupa masalah ini yang jangka panjang akan meruntuhkan bangsa.

Kerana itu, transformasi minda dan pemikiran jangka panjang amat penting. Rakyat negara ini harus berhenti menuding jari kepada orang lain, sebaliknya bersama-sama menyumbang buah fikiran dan mengambil bahagian dalam usaha menghadapi kemelut sosial yang ada. Ironisnya, kita mampu membeli kereta mewah dan telefon bimbit mahal, tetapi tidak mampu memiliki alat pendengaran untuk menggunakan telefon bimbit semasa memandu sehingga mengganggu orang lain. Sesetengah kita berbangga dengan kereta yang dijaga sempurna, tetapi tidak mahu membayar untuk tempat letak kereta lalu meletakkannya di tepi jalan yang menyusahkan pengguna jalan raya lain.

Masalahnya ialah, selagi kita hanya bergantung kepada orang lain, termasuk agensi-agensi kerajaan, maka sukar untuk menyelesaikan sebahagian besar masalah yang ada. Usaha bersama yang bersungguh-sungguh harus diambil untuk menghadapi apa jua masalah bersama yang ada. Konsep kejiranan yang kental, penyertaan pemimpin tempatan termasuk pemimpin-pemimpin yang dipilih melalui parti politik dan lain-lain lagi wajar diperkukuhkan untuk menangani masalah bersama yang ada. Konsep turun padang tanpa mengira masa, ikhlas dan bertanggungjawab harus menjadi pegangan semua pihak.

Perkukuhkan semua institusi yang ada, terutamanya institusi agama dan institusi amanah. Para pemimpin yang diamanahkan memimpin institusi agama harus melihat semua masalah ini, tanpa mengira siapa sahaja untuk membuktikan bahawa persepsi salah yang ada pada agama selama ini dapat diperbetulkan. Perkukuhkan juga institusi amanah yang ada termasuk agensi-agensi kerajaan. Sesetengah orang yang berada dalam institusi amanah ini masih mengamalkan sikap lama yang menjarakkan antara rakyat biasa dengan agensi-agensi yang ada. Mereka lupa terhadap konsep amanah dan tanggungjawab terhadap amanah yang dipegang dan rakyat seluruhnya. Inilah yang menimbulkan kejengkelan dan sesetengahnya dengan mudah menimbulkan kemarahan orang ramai.

Institusi pendidikan kita perlu diperkasakan oleh setiap individu di dalamnya. Kita telah mempunyai satu sistem yang hampir sempurna. Yang perlu difikirkan dan diselesaikan ialah manusia di dalamnya yang harus melakukan transformasi minda yang menggerakkannya untuk melakukannya dengan lebih baik, sedia berubah dan mengambil tindakan yang perlu dengan penuh kasih sayang bagi membangunkan generasi akan datang. Proses pendidikan bukan hanya tiket untuk mendapat sijil, diploma dan ijazah, tetapi berupaya melahirkan insan yang mampu berfikir secara berhemah, bijaksana dan berpegang kepada nilai universal dengan berjiwa kemanusiaannya yang kental. Ia harus bermula dalam kalangan mereka yang berada di dalam institusi-institusi berkenaan.

Tahun 2010 seharusnya membuka lebih laluan untuk kita berfikir dengan penuh inovatif dan kreatif sesuai dengan perisytiharan Perdana Menteri baru-baru ini. Kita harus bersama-sama mencari jalan terbaik untuk menjadikan 2010 lebih membahagiakan dan meningkatkan tahap keceriaan hidup kita. Kebahagiaan dan keceriaan tidak hanya diperolehi dengan harta benda, tetapi ketenangan jiwa dan kasih kasih melimpah-ruah yang menghormati orang lain, bertoleransi, tenang dalam tindakan, mempunyai akauntabiliti dan integriti yang tinggi serta tidak mudah menuding jari. Sebaliknya kita sedar yang setiap rakyat ada peranan yang harus dimainkan, tidak kira siapa dan apa yang kita lakukan.